Buat julung-julung kalinya, BADAS di bawah anjuran Lujnah Penerbitan dan Publisiti telah mengadakan satu tayangan filem khas (Cinema BADAS) untuk semua warga IPG KSAH khususnya para guru pelatih bertempat di Dewan Bukhari 27 April 2011 yang lalu.

Filem pertama yang menjadi pilihan ialah sebuah filem box office dari Iran, yang bertajuk “Children of Heaven”. Cinema BADAS telah bermula pada jam 9.30 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam dengan kehadiran yang agak memberangsangkan dari kalangan para guru pelatih. Sambil menonton, para guru pelatih juga dapat beramal dengan menderma kepada tabung BADAS.


Filem ini telah berjaya menghiburkan dan menyentuh hati setiap penonton yang hadir melalui karakter watak utamanya, iaitu dua orang kanak-kanak yang polos, Ali dan Zahra namun sangat matang dalam memahami kesusahan hidup keluarga mereka. Jalan ceritanya sangat ringkas iaitu berkisarkan tentang kanak-kanak yang kehilangan kasut dan berusaha mendapatkan semula kasut dengan cara sendiri kerana keadaan keluarganya yang miskin.



Filem yang diterbitkan pada Februari 1997 ini merupakan filem Iran pertama memenangi Academy Award for Best Foreign Language Film pada tahun 1998 dan mula dikenali ramai sejak tahun 1999, 2000 dan 2001 selepas memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

Kesudahan filem arahan Majid Majidi ini tidak stereotype seperti kebanyakan filem yang lain dan berjaya menampilkan kelainan. Penonton pastinya tertanya-tanya akan kesudahan cerita ini, apabila di akhir pertandingan, Ali gagal mendapat tempat ketiga seperti yang dirancangkan kerana dia terlajak sehingga mendapat tempat pertama. Berikutan kemenangannya itu, dia gagal mendapatkan hadiah kasut sukan buat menggantikan kasut Zahra yang hilang. Justeru, bagaimanakah dia dapat menerangkan perkara itu kepada Zahra yang sedang menunggunya di rumah dengan penuh harapan?

Zahra
Filem ini berjaya mengheret masyarakat menyelami nilai moral dan kemanusiaan. Sebuah filem yang sangat menggagumkan dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Diharapkan BADAS akan terus menayangkan filem-filem yang berkualiti seperti “Children of Heaven” yang hanya mempertaruhkan dunia kanak-kanak sebagai plot cerita namun tetap menjanjikan pelbagai elemen dan nilai murni seperti kasih sayang, tanggungjawab, kemiskinan dan ketabahan hidup.