Di malaysia pada zaman kini, hiburan sudah menjadi sebati dengan kehidupan rakyat-rakyatnya. Tanyalah anak-anak muda kita, siapakah Dafi, pasti mereka dengan pantas menjawab tanpa perlu rujuk buku. Tambah-tambah lagi, sekarang ini fenomena Korea melanda anak-anak remaja kita. Siapa tak kenal kumpulan super Junior? Siapa tak kenal Jessica dari SNSD?


Super Junior yang popular di Malaysia

SNSD


Hiburan itu Fitrah manusia…

Siapa kata agama Islam menyekat manusia daripada berhibur? Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

Rasulullah sendiri menyukai hiburan. Rasulullah membenarkan orang-orang Habsyah bermain anak panah dan tombak sebagaimana adat kebiasaan mereka di dalam Masjid Nabawi malah turut menawarkan kepada Aishah untuk menonton sama pertunjukan mereka [Hadis Riwayat Bukhari, No 949, Kitab Dua hari Raya]. Baginda saw juga membenarkan para wanita bernyanyi dan memukul gendang pada hari keramaian dan perayaan.Malah baginda menggesa Jabir bin Abdullah mengahwini anak dara dengan alasan boleh bergurau senda dengannya berbanding wanita janda [Hadis Riwayat Bukhari, No 5079, Kitab Perkahwinan].


Ini menjelaskan kepada kita kewujudan sifat fitrah manusia yang inginkan sedikit masa untuk menghiburkan hati. Ibn Qayyim berpendapat, setiap orang perlu mendapatkan ruang yang cukup untuk menghiburkan hati dan berehat untuk menghilangkan kepenatan dan keletihan, memperbaharui kecergasan dan daya kerja dan memperkuatkan tenaga untuk bergerak.

Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya seperti yang firmankan oleh Allah:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (surah Az Zariyyat :56)

Oleh itu kita perlu memastikan segala rutin harian kita sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT. Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

Nyanyian Black Metal yang menyimpang dengan Islam

Garis Panduan Mengadakan/Menghadiri Acara Konsert / Persembahan Dan Hiburan Dalam Islam


1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, menghina para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.


2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.


3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.


4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.


6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika penyanyi itu dari kalangan wanita dan apa-apa yang berkait dengan wanita maka persembahan itu hendaklah tertutup. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Kesimpulannya, industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam. Syaitan sentiasa mengintai peluang untuk menyesatkan dan melaghakan manusia dalam hiburan yang melalaikan.

Tanggungjawab penggiat seni Muslim kini ialah membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Golongan Kuffar sentiasa berusaha untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan. Oleh itu, usaha mereka ini mestilah dihalang dengan menjadikan Al Quran dan Sunnah Rasul SAW sebagai lampu suluh kehidupan kita.