Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Andai Pembohongan Boleh Dikesan...

 Hayatilah cerita di bawah...
Samad adalah seorang profesor terulung, dia berhasil mencipta robot yang boleh mengesan pembohongan, dia membuat robot itu sehinggakan ketika mendengar pembohongan, robot tersebut akan terus menampar si pembohong itu...

Wordless Wednesday =)

Forum Agenda Ummah

Badan Dakwah dan Surau telah menganjurkan satu forum bertajuk Agenda Ummah pada 19 April 2011  iaitu pada hari Selasa yang lalu bertempat di Dewan Farabi dan bermula pada jam 9 malam.


 
Moderator: Ust. Nik Mohd Fahmi
Panel: Ust. Amad Zakir
            Nur Razan


Tujuan utama forum ini adalah sebagai penerangan berkenaan Pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang akan diadakan pada 24 April 2011 iaitu pada hari Ahad.

Di antara isi-isi forum tersebut:
  • pemilikan pemimpin yang layak
  • motivasi kepada calon-calon JPP
  • pemimpin yang menaikkan tamadun, pemimpin yang menjatuhkan tamadun
  • untuk menjadi pemimpin, perlu melakukan persiapan rapi
    • siap sedia terima kritikan
    • tidak bergerak secara individu
    • meletakkan agama sebagai keutamaan
  • saranan agar pengundi menilih pemimpin yang benar-benar layak
  • tayangan video



Insafi Perjuangan BADAS

Bismillahirrahmanirrahim….segala puji kita lafazkan kepada raja segala raja yang tiada tandingan. Di sini saya tergerak untuk menulis sedikit coretan untuk tatapan warga Badan Dakwah dan Surau dan seluruh muslimin muslimat.



[LAPORAN]: Forum Kegemilangan Tamadun Islam

       Suatu forum bertemakan Kegemilangan Tamadun Islam telah berlangsung di Dewan Bukhari IPG Kampus Sultan Abdul Halim pada 25 Rabiul Awal 1432H bersamaan 30 Mac 2011 yang lalu. Forum yang julung-julung kali diadakan itu bermula pada jam 9.00 malam dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Saudara Abu Bakar Abdullah dan bacaan doa oleh Saudara Mohd Khairi Jamil sebelum pengerusi majlis bertindak menyerahkan sesi forum kepada saudara moderator bersama ahli-ahli panel jemputan, untuk mengupas tajuk “Kesepakatan Ummah Tunjang Kegemilangan Tamadun Islam”.

ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis
bacaan doa oleh saudara Mohd Khairi Jamil
       Saudara Mohd Syafiq Samsudin selaku moderator berjaya memainkan peranannya dengan soalan-soalan yang cukup bernas dan mantap. Antara persoalan yang dikemukakan adalah mengenai asas-asas yang menunjangi pembentukan tamadun, fungsi institusi rumah tangga dalam pembentukan peradaban khususnya peradaban Melayu dan keistimewaan tamadun Islam berbanding tamadun-tamadun lain.
dari kanan: Mohd Syafiq Samsudin (moderator), Dr Ridzuan Ahmad(ahli panel 1) , Dr. Zulkifli Yusuf (ahli panel 2)

DIA PERNAH MENCINTAIMU...


“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kita yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, dimana sekali pun kita berada, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijrah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]

bila diri terlalu SIBUK...



aku benar-benar merinduiMu tuhan...

tatkala diri terlalu sibuk dengan urusan dunia, serasa hati ku makin jauh dr Mu..
merindui kesunyian itu..
merindui ketenangan itu...
merindui tangisan itu..

mahu lari jauh ke sudut dunia..kalau itu yang aku mampu..
mahu hati ini hanya bersatu dengan Mu yang memahami tiap lintasan dalam jiwa dan rasa..
mahu airmata ini gugur kerana rindu padaMu...

terkadang tak mampu menanggung rasa..
hanya kerana rasa RINDU itu membuatkan jiwa ku sesak ya tuhan...
apakah ada jalan, agar rindu ini beransur tenang...
apakah ada cara, agar cinta ini tidak lagi memeritkan...

keresahan ini hanya kerana rindu ini tidak aku luahkan..
aku rindu untuk berada dalam belaian kasihMu..
aku rindu untuk berdua-duaan denganMu...
aku rindu mengalirkan airmata saat aku mendongak ke awan milikMu..

aku mahu berbaring, menatap langit biru, mendengar alunan sungai, melihat kehijauan bumi..
kemudian menutup mata setelah aku yakin, redha dan kasihMu hanya milik ku seorang...

mampukah aku?

biar aku menanggung rasa...di balik senyuman..
biar aku lelah..di balik ketenangan..
biar aku tersinggung..di balik redupan mata...
biar tiada yang mengerti jiwa raga ku...

cuma satu ya rabbi, yang aku gila-gilakan...cintaMu saat aku menutup mata nanti..
izinkan ya Allah...untuk hamba yang hina ini terus mendamba cinta agungMU..

PROGRAM MANAGEMENT BY OBJECTIVE ANJURAN BADAS SESI 2011









Pada 8 Januari 2011, bertempat di ruang legar, satu program yang dikelola oleh ahli jawatankuasa BADAS iaitu Management By Objective telah diadakan. Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi ini mensasarkan penglibatan semua ahli BADAS sesi 2011.
Program Management By Objective ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan. Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk merencana dan menyusun perancangan kertas kerja sepanjang tahun 2011 secara lebih terperinci dengan ahli lajnah masing-masing. Di samping itu, dengan adanya pengisian seperti ini, ahli-ahli BADAS lebih peka terhadap sebarang aktiviti atau program yang akan dianjurkan untuk tahun ini.
Saudara Muhammad Zubairi b. Zakaria telah diberikan amanah untuk mengendalikan program ini berikutan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan dan pengurusan sesuatu program berdasarkan penglibatan beliau dalam Jabatan Perwakilan Pelajar di IPG Kampus Sultan Abdul Halim.
Program ini berlangsung dengan semua ahli BADAS bersama ketua lajnah masing-masing, berbincang dan merangka perjalanan program yang akan diadakan sepanjang tahun ini. Tidak ketinggalan juga, turut kelihatan ahli-ahli yang telah lama melibatkan diri dalam organisasi BADAS untuk turut sama membantu dan menyumbangkan seberapa banyak buah fikiran bagi melancarkan program ini. Sebaik sahaja selesai perbincangan, segala kertas kerja diedit dan diserahkan kepada Setiausaha BADAS, Muhammad Faiezullah b. Shaari untuk dikemaskini.
Selepas bertungkus lumus menyiapkan kertas kerja tersebut, semua ahli BADAS dihidangkan dengan sedikit jamuan ringan oleh Lajnah Manna Wasalwa. Majlis ini kemudiannya disudahi dengan bacaan ikrar oleh semua ahli BADAS dengan diketuai oleh Timbalan Presiden I BADAS , saudara Muhammad Fakhruddin b Mohd Zamani. Program Management By Objective ini telah berakhir pada pukul 12 tengah hari dengan kerjasama yang padu dari semua ahli BADAS. Diharapkan program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan. Insyaallah.

Program Muktamar Badan Dakwah & Surau (BADAS) Sesi 2011








Pada 7 Januari 2011 iaitu pada hari Jumaat bersamaan 2 Safar, satu program Muktamar BADAS telah diadakan dengan jayanya di Dewan Bukhari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPSAH). Program ini telah bermula pada jam 8.30 pagi dan tamat pada jam 12.30 tengahari.
Program ini telah dipengerusikan oleh saudara Izzul Faizuan dan diberkati lagi dengan bacaan doa oleh saudara Khairul Adham. Program ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh saudara Ahmad Zulhakim selaku Presiden BADAS bagi sesi 2010. Seterusnya,Dr.Ridzuan selaku tetamu jemputan khas wakil Jabatan Islam & Moral (JAPIM) telah memberi ucapan sekaligus merasmikan program Muktamar ini.
Program ini diteruskan lagi dengan tayangan slide gambar kenangan sepanjang aktiviti yang telah dianjurkan oleh BADAS pada sesi 2010 sebelum majlis berhenti rehat kira-kira 20 minit untuk memberi laluan kepada jamuan ringan yang disediakan oleh ahli lajnah Manna Wa Salwa.
Program Muktamar ini diteruskan lagi dengan pengambil alihan tugas saudara Izzul Faizuan oleh saudara Muhd ZulFadhli bagi mempengerusikan Sesi Pembentangan Usul dan Cadangan bagi penambahan baik sistem serta pengurusan aktiviti BADAS. Pelbagai usul dan cadangan bernas telah diutarakan dan bakal dibincangkan serta dipertimbangkan oleh pihak Majlis Tertinggi (MT) BADAS sesi 2011.
Sebelum majlis diserahkan kepada saudara Ahmad Zakir selaku ketua Majlis Syura bagi pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2011, saudara Ahmad Zulhakim selaku Presiden BADAS bagi sesi 2010 diberi penghormatan terakhir untuk menggulungkan Sesi Pembentangan Usul dan Cadangan dan sekaligus memberi mandat dan watikah kepada Ahli Jawatankuasa yang baru dilantik.
Saudara Ahmad Zakir seterusnya mengumumkan pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa BADAS bagi sesi 2011 seperti berikut :

PRESIDEN
Nik Mohd Fahmi b. Nik Harun Aminarrashed
TIMBALAN PRESIDEN
Mohd Fakhrudin b. Zamani
TIMBALAN PRESIDEN II
Nur Razan bt Mansor
SETIAUSAHA
Muhammad Faiezullah b. Shaari
TIMBALAN SETIAUSAHA
Nor Najihah bt Zainudin
BENDAHARI
Mohd Jamil b Che Nawi
TIMBALAN BENDAHARI
Nurul Hidayah bt Muktar
KETUA LUJNAH
LUJNAH SPMI : Ahmad Zakir Mohd Amin
LUJNAH SENI BUDAYA ISLAM : Mohd Syafiq Shamsuddin
LUJNAH MANNA WA SALWA : Solihin Ahmad Bakary
LUJNAH HELWANI : Nurul Huda bt Ariff
LUJNAH PEMBANGUNAN EKONOMI & KEUSAHAWANAN : Muhamad Ashraf b.Tahir
LUJNAH KEBAJIKAN & PENGURUSAN : Ibrahim b.Yusof
LUJNAH MAHABBAH : Muhammad b.Zakaria
LUJNAH KECEMERLANGAN JASMANI : Mohd Lufti Mohd Zamhuri
LUJNAH PENERBITAN & INFORMASI : Mohd Khairul Adham

Pelantikan Ahli Jawatankuasa BADAS bagi sesi 2011 ini diseterusnya disempurnakan dengan penyerahan portfolio oleh Ahli Jawatankuasa bagi sesi 2010 kepada Ahli Jawatankuasa bagi sesi 2011. Sebelum majlis tamat dengan jayanya pada jam 12.30 tengahari, saudara Nik Mohd Fahmi selaku Presiden BADAS sesi 2011 memberi sedikit ucapan ringkas sekaligus menutup majlis Program Muktamar BADAS sesi 2011. Diharapkan Program Muktamar BADAS akan dapat dianjurkan lagi pada masa yang mendatang dengan lebih banyak peningkatan serta lebih sistematik.InsyaAllah:)

Anda down? 3 tips untuk menceriakan semula diri Anda

Tips 1: Buat apa yang Anda suka buat di masa terluang. Apa dia hobi Anda?

Setiap orang ada hobi tersendiri cuma Anda sudah lupakan hobi Anda sebab Anda sibuk mengurus kehidupan. Apabila emosi Anda down, Anda rasa tertekan, jiwa Anda tak keruan, tinggalkan dulu benda lain kemudian beralih kepada perkara yang Anda suka buat (hobi Anda) tu. Buat dengan sepenuh hati, jangan dipaksa-paksa atau dilakonkan semata-mata untuk melupakan masalah. Tanya diri Anda, “apa hobi aku?”Anda?

Mungkin Anda suka tengok movie, bersukan, suka menonton tv, suka berbual-bual, suka bermain futsal,bermain games, membaca, menulis, berFacebook. Walau apa saja yang Anda suka buat, buat saja supaya selepas itu Anda merasa ceria semula. Syaratnya, jangan layan rasa tertekan. Hobi dapat merubah fikiran Anda dari asyik memikirkan tekan, masalah dan dugaan. Anda akan dapat lihat penyelesaian kepada tekanan, masalah dan dugaan yang Anda hadapi.

Tips 2: Luahkan, ceritakan, lontarkan.

Bila Anda down, luahkan apa yang membuat Anda ‘down’. Fikir seseorang yang Anda boleh percaya, cari dia, bawa dia berbual-bual, kemudian ceritakan habis apa yang terbuku di hati Anda. Minta dia mendengar saja luahan Anda, beritahu dia supaya memberi pendapat kemduian (jika dia mahu, jika tidak, tak perlu). Luahkan semuanya, jangan simpan-simpan selebihnya. Cara ini akan membuat Anda merasa tenang.

Tips 3: Tulis, buang, lupakan.

Tulis dia atas sekeping kertas apa yang membuat Anda down, apa yang Anda geramkan, apa yang membuat Anda marah, apa yang membuat Anda tak puas hati. Tulis kesemuanya. Keronyok kertas tu pastu buang jauh-jauh. Lupakan apa yang Anda dah tulis tadi. Latih diri Anda untuk tidak mengingat lagi perkara itu. Tips ni ambil masa untuk benar-benar berkesan.


SUMBER : www.imotivasi.com

Ayuh Bersatu

Ketika Saidina Ali mengetuai kerajaan Islam, ramai kumpulan orang Islam yang keluar dari pemerintahannya kerana merasakan kepimpinan beliau tidak betul dan salah. Suatu hari seorang sahabatnya bertanyakan soalan tentang golongan tersebut.

“Ya Amirul Mukminin kafirkah mereka?”

“Tidak, kerana mereka mengucap kalimah tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, sedangkan orang kafir mendustakannya”

“Munafikkah mereka?”

“Tidak, kerana mereka mendirikan solat, sedangkan orang yang munafik mendirikan solat dalam keadaan yang malas”

“Maka siapakah mereka?”

“Mereka itu saudara kita, Cuma mereka bukan sekumpulan dengan kita. Hadapilah mereka jika mereka menyerang kita, tetapi berpalinglah dari mereka jika mereka tidak mengganggu kita.

MasyaAllah sangat indah kata-kata yang dilafazkan oleh Khulafa’ Al-Rasyidin yang terakhir ini. Kata-kata ini bagaikan satu penyelesaian di atas perbalahan yang berlaku di dalam dunia Islam sekarang.

Berbilang-bilang Jamaah

Realiti perjuangan Islam di Malaysia ini banyak mendedahkan kita dengan situasi taadud jamaah, jika dibilang, lebih dari sepuluh yang sudah didaftarkan samada menjadi NGO ataupun parti politik. Itu belum termasuk jamaah yang tidak didaftarkan secara sah dengan kerajaan dan hanya bergerak di bawah tanah sahaja.

Biarlah banyak manapun jamaah yang ada hakikatnya kita semua mempunyai satu tujuan yang sangat besar, iaitu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di atas muka bumi ini.

Tetapi, kebelakangan ini kita sering terdengar tentang banyak berlaku pertelingkahan di antara jamaah sehingga fokus yang ditetapkan oleh setiap jamaah ditinggalkan kerana lebih banyak masa dan tenaga digunakan untuk memenangkan jamaah masing-masing dan bukannya memenangkan Islam.

Akhlak kita yang ditarbiyyah

Sebagai seorang ahli gerakan yang ditarbiyyah dengan sistematik dan mempunyai manhaj yang jelas, kita seharusnya faham dengan realiti ini dan seharusnya lebih matang dalam mengendalikan isu-isu sedemikian.

Bukankah Imam Hasan al-Banna sudahpun berpesan kepada kita tentang perkara ini di dalam Arkanul Baiah yang pertama iaitu al-fahmu (faham). Dalam penjelasannya, beliau banyak menyatukan hati-hati orang mukmin ini agar sentiasa berada pada landasan yang benar supaya pembaziran tenaga tidak berlaku kerana perbalahan yang timbul dek kerana hal-hal yang furu’ dan tidak meningkatkan amal.

Ukhuwah

Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap shabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri.

Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada di dalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan.

Sikap taksub

Kadang-kadang kerana taksub terhadap jamaah menjadikan kita hilang punca dan arah tuju yang sebenarnya, adakah kita berintima’ di dalam jamaah ini semata-mata kerana jamaah atau kerana ingin menegakkan agama Allah?

Betul, memilih jamaah yang terbaik perlu untuk kita merasa yakin dalam perjuangan ini, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya mengatakan jamaah lain salah dan hanya jamaah kita sahaja yang betul.

Sebaliknya kita perlulah menyedari tentang peranan jamaah yang berbeza-beza. Hiduplah seperti satu tubuh yang saling lengkap melengkapi diantara satu dengan yang lain. Andai anggota lain hilang, maka ia akan menyulitkan pergerakan anggota yang lain.

Dalam naungan Mahabbah

Islam menganjurkan kita bersederhana di dalam melakukan setiap perbuatan. Jangan terlalu melampau dan jangan pula terlalu sedikit melakukan amalan. Marilah bersatu di dalam naungan rasa mahabbah dan kasih sayang. Andai kata ada yang silap, perlulah ditegur dengan penuh hikmah dan perlulah sentiasa siap untuk ditegur semula.

Jalan perjuangan ini memerlukan orang yang benar-benar ikhlas dan kita pasti tidak terlepas daripada tapisan Allah. Berjuanglah di medan masing-masing, andaikata seorang rebah, maka papahlah ia bersama menuju ke destinasi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...