Pada hari Sabtu, bertarikh 16 Januari 2010 yang lalu Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim telah menganjurkan Majlis Mahabbah Peringkat Zon Utara bagi sesi 2010. Program ini disertai oleh lima buah Institut Pendidikan Guru(IPG).

Majlis ini telah diisi dengan pelbagai slot yang menarik dan telah membuka minda para peserta. Ceramah yang bertajuk “Realiti Dakwah di IPG, antara Harapan dan Kewajipan” telah disampaikan oleh Dr. Ridzuan B. Ahmad sebagai pembuka tirai Majlis Mahabbah ini. Penceramah telah menekankan perihal konsep berdakwah, halangan-halangan yang membantutkan dakwah dan beberapa pendapat alim ulama’ mengenai dakwah.

Usai itu saudara Ahmah Zakir bin Mohd Amin, Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG KSAH telah mengambil alih majlis dengan slotnya, “Perkongsian Pintar”. Aktiviti ini bertepatan dengan tema majlis iaitu “MENJANA UKHWAH, MENGGAPAI FIKRAH” kerana para peserta berpeluang mengenali antara satu sama lain. Hasilnya, ke semua ahli kumpulan telah berjaya berkongsi pendapat dan ilmu dalam menyelesaikan tugasan yang diberi.

Majlis ini diakhiri dengan dengan slot bersama Nik Mohd Fahmi B. Nik Harun Aminarrashed iaitu “Kemantapan Organisasi Menjana Keunggulan Dakwah”. Para peserta juga telah mendengar ucapan daripada Presiden Ikatan Kerohanian Zon Utara iaitu Ahmad Zafri daripada IPG Kampus Pulau Pinang.

Tuntasnya, aktiviti kerohanian ini telah membuka minda para peserta dengan perbincangan dan perkongsian idea-idea bernas. Pelbagai input yang positif berjaya dikongsi bagi di bawa pulang untuk diaplikasikan di IPG
masing-masing. Jelas, matlamat utama program berjaya digapai.