Pada 15 dan 16 Januari 2011, Persatuan Badan Dakwah dan Surau Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (BADAS IPG KSAH) telah mengadakan satu aktiviti lasak iaitu Ekspedisi Gunung Jerai yang diketuai oleh Lujnah Kecemerlangan Jasmani. Aktiviti ini melibatkan sejumlah 45 orang guru pelatih daripada pelbagai opsyen dan juga ambilan. Tujuan ekspedisi ini diadakan adalah untuk melahirkan guru pelatih beragama Islam yang fleksibel, cemerlang jasmani serta berkemahuan memelihara atmosfera biah solehah di samping mahu menerapkan nilai mahmudah dalam diri.
Tepat jam 8.15 pagi, ahli ekspedisi mula berkumpul bagi pemeriksaan bilangan ahli dan peralatan yang ada. Pemeriksaan diketuai oleh Ketua Lujnah Kebajikan. Usai itu, bas mula bergerak menuju ke destinasi. Selepas satu jam perjalanan, ahli ekspedisi tiba di Titi Hayun. Daripada sini, ahli ekspedisi akan mula mendaki Gunung Jerai melalui Tangga Kenari. Sebelum pendakian dimulakan, para ahli diberikan taklimat tentang tatacara dan adab semasa mendaki serta melakukan aktiviti memanaskan badan. Selain daripada itu, Ketua Lujnah Kesenian Islam juga membuat sedikit penerangan dan pembahagian aktiviti Latihan Dalam Kumpulan. Tepat jam 10.00 pagi, pendakian kami pun bermula.
Selepas satu jam setengah para ahli mendaki Tangga Kenari, tibalah kami di perhentian pertama. Pendakian 1500 anak tangga ini telah mengakibatkan beberapa orang daripada ahli ekspedisi mengalami kekejangan otot di bahagian kaki. Cabaran di Tangga Kenari menduga semangat para ahli namun, tiada siapa yang mahu mengalah dan kesemuanya setuju untuk terus mendaki. Ahli yang mengalami kekejangan diberi rawatan pantas yakni urutan reflexiologi oleh Presiden BADAS IPG KSAH. Selepas beberapa minit di perhentian pertama ini, ekspedisi diteruskan lagi.
Pendakian yang bersifat santai ini memakan masa lebih kurang 5 jam untuk kami tiba di destinasi utama, puncak Gunung Jerai. Kesemua peserta ekspedisi selamat tiba di puncak tepat jam 2.15 petang. Setibanya di puncak, kami bergambar bersama-sama sambil memegang banner ekspedisi yang disiapkan beramai-ramai oleh ahli ekspedisi sehari sebelum aktiviti. Sambil melepaskan lelah, kami disajikan dengan permandangan sawah padi beserta lautannya, disapa dengan bayu dinginnya serta dihidangkan dengan keindahan landskapnya. Kesemua peserta kelihatan puas dan gembira walaupun keletihan masih bersarang di dada.
Daripada puncak Gunung Jerai, kami memperuntukkan masa selama 45 minit untuk berjalan turun ke tapak perkhemahan di Hutan Lipur Sungai Teroi. Jaraknya kira-kira 3 hingga 4 kilometer daripada puncak gunung. Setibanya di sana, kami telah disambut oleh ahli Lujnah Manna Wa Salwa beserta masakan yang enak dan menyelerakan. Para peserta diberi kebebasan untuk berehat atau bersiar-siar di kawasan hutan lipur.

Di sebelah malam, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan mula mengambil tempat selepas usai solat Fardhu Maghrib. Aktiviti ini menguji tahap keupayaan ahli untuk berfikir dan berlakon di hadapan khalayak. Melalui aktiviti ini, para ahli dapat melatih diri dengan sifat berani, yakin dan hormat-menghormati di samping mengeratkan lagi tautan uhkwah yang telah terbina.
Selepas usai solat Isyak, para ahli berkumpul bagi mendengar halwa telinga mengenai isu kejatuhan masyarakat Melayu Islam dewasa kini. Perbincangan dan pembentangan disampaikan oleh Al-fadhil
Ustaz Adli Azami Abdul Rahman. Beliau merupakan Pegawai Penyelidikan di UNIMAP dan berasal daripada Sik, Kedah. Antara bait penting yang ditekankan oleh pembentang adalah isu kejatuhan akhlak dan moral masyarakat Melayu Islam di Malaysia, kegagalan komuniti Islam antarabangsa dalam mempertahankan tanah suci Palestin dan akhir sekali dibincangkan serta pembentang bersumbang saran bersama ahli ekspedisi mengenai jalan keluar daripada permasalahan ini. Alhamdulillah, slot Keindahan BersamaMu ini mendapat sambutan daripada ahli ekspedisi kerana adanya tindak balas yang positif serta soal jawab yang efektif. Tepat jam 11.00 malam, majlis bersurai selepas makan malam dan para ahli ekspedisi mula beransur ke khemah atau bilik masing-masing.
Pada keesokan paginya, para ahli ekspedisi mendirikan solat Fardhu Subuh secara berjemaah di pentas terbuka. Seusainya solat Subuh, semua peserta bersedia untuk aktiviti senaman pagi yang diketuai oleh Saudara Zulfadli yakni Ketua Exco Kesukanan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG KSAH dan turut diserikan lagi dengan beberapa senaman sampingan oleh Saudara Ahmad Zakir. Saudara Zulfadli juga telah menjalankan satu permainan batu beracun. Para peserta yang memperolehi batu selepas muzik diberhenti, perlu membuat aksi menjual barang. Permainan ini berlangsung sehinggalah jam 8.30 am. Selepas itu, pada peserta menjamu selera dan terus bersiap untuk pulang ke kaki Gunung Jerai.
Tepat jam 10 pagi, semua peserta telah berkumpul bagi pemeriksaan barang dan taklimat sebelum berangkat pulang. Saudara Ibrahim mengetuai pemeriksaan ini selaku Ketua Lujnah Kebajikan. Ketua Program telah menyelitkan ucapan penghargaan kepada semua ahli yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak. Perjalanan pulang melalui jalan tar dan pada peserta dihantar oleh van sehingga ke kaki gunung. Para peserta dibawa turun secara berkumpulan. Pada jam 12.45 petang, kesemua peserta telah tiba di kaki gunung iaitu di bahagian Gurun dan bas bertolak pulang ke institut. Selepas 45 minit melalui Lebuhraya Utara Selatan, bas tiba di Sungai Petani . Tepat jam 1.30 petang, ahli ekspedisi tiba di perkarangan institut. Sebelum dibenarkan pulang, para ahli ekspedisi dikumpulkan untuk memulangkan barang-barang yang dipinjamkan iaitu botol air untuk muslimat dan khemah serta beg tidur bagi muslimin. Pada jam 1.45 petang, kesemua para peserta bersurai.