Pada 16 September 2009 bersamaan 26 Ramadhan 1430H, bertempat di surau IPGM KSAH, telah diadakan satu majlis berbuka puasa anjuran JAPIM dengan kerjasama Badan Dakwah dan Surau. Majlis ini disertai oleh guru-guru pelatih dan para pensyarah IPGM KSAH. Selain itu, kehadiran Pengarah dan Timbalan Pengarah berserta keluarga masing-masing juga turut memeriahkan lagi majlis.

Lebih kurang pukul 6 petang diadakan majlis khatam Al-Quran beramai-ramai dan telah disertai oleh guru-guru pelatih dan juga para pensyarah yang hadir. Tugas-tugas telah dibahagikan kepada setiap ahli BADAS semasa hari tersebut. Terdapat 3 khemah besar di perkarangan surau IPGM KSAH iaitu khemah untuk guru pelatih lelaki dan perempuan serta khemah untuk pensyarah. Setiap lajnah diberi tugas masing-masing seperti persediaan tempat, menghidangkan makanan dan minuman dan tugas memberi buletin kepada tetamu.

Apabila hampir waktu berbuka puasa, semakin ramai guru pelatih yang hadir. Tempat yang disediakan cukup untuk menampung bilangan guru pelatih yang hadir. Apabila masuk waktu berbuka puasa, para tetamu akan berbuka puasa dengan makanan yang ringan dahulu seperti kuih-muih dan minuman. Selepas itu, kesemua tetamu akan menyempurnakan solat Maghrib dahulu sebelum berbuka dengan makanan yang berat seperti nasi.

Selepas solat Maghrib barulah para tetamu kembali ke khemah semula untuk menjamu selera. Pada masa ini, para guru pelatih dapat berkenal-kenalan sesama sendiri dan berbual mesra tanpa mengenal perbezaan usia samada senior atau junior. Inilah fungsi diadakan majis berbuka puasa perdana ini. Selesai sahaja menjamu selera, semua tetamu bersiap-siap untuk menunaikan solat Isya’ dan solat sunat Tarawih pula.

Selepas menunaikan solat Isya’, ditunaikan pula solat sunat Tarawih sebanyak 8 rakaat dan solat sunat Witir sebanyak 3 rakaat. Selepas selesai 4 rakaat pertama terdapat sedikit tazkirah yang disampaikan oleh guru pelatih. Hampir pukul 11 malam majlis selesai.