Bismillahirrahmanirrahim….segala puji kita lafazkan kepada raja segala raja yang tiada tandingan. Di sini saya tergerak untuk menulis sedikit coretan untuk tatapan warga Badan Dakwah dan Surau dan seluruh muslimin muslimat.






 Perjuangan BADAS bukanlah satu perjuangan yang dapat dibayar dengan emas permata. Disebabkan perjuangan inilah kita menghabiskan masa rehat, kita dibenci, kita dipandang serong segelintir manusia. Namun di atas jalan inilah kita menjadi manusia yang sentiasa mengadu pada Allah, kita menjadi manusia yang tabah menghadapi dugaan, kita menjadi hamba-Nya yang kreatif menyelesaikan pelbagai masalah di dunia yang penuh pancaroba ini. Semua itu adalah hadiah daripada Allah yang tidak mampu diberikan oleh sekalian makhluk di alam ini.

Segala kepahitan yang dirasai mampu bertukar menjadi sebuah kemanisan. Namun begitu, kemanisan ini pastinya tidak akan dapat dirasai oleh pembaca yang tidak menerima sebarang ujian dalam wasilah yang mulia ini, apatah lagi mereka yang berjuang seperti melepaskan batuk di tangga. Mana mungkin kemanisan ini dapat dicapai tanpa perjuangan yang menjanjikan sebuah pengorbanan. Mana mungkin syurga mampu digapai tanpa pengorbanan yang berpaksikan perjuangan. Sesungguhnya Allah menjanjikan berita gembira kepada hamba-Nya yang sedia diuji dan cekal menghadapinya. Firman Allah :

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
(Surah al-Baqarah 2 : 214)

Ujian inilah yang dinamakan sebagai tabiat perjuangan yang tidak dapat tidak mesti dilalui oleh setiap manusia yang mengaku dirinya beriman kepada Allah. Begitulah juga perjuangan kita dalam wasilah dakwah yang diberi nama BADAS, akan mendapati banyaknya ujian yang harus ditempuhi bersama. Maka ramailah pejuang-pejuang yang dahulunya bersemangat memperjuangkan agama Allah dalam wasilah ini, kini telah tumpas dengan membawa pelbagai alasan yang sungguh ‘bernas’.

Walau apa pun alasan yang diberikan, namun itulah sebenarnya hakikat perjuangan yang menuntut pengorbanan melawan ujian yang sudah ditentukan. Inilah hakikat yang berlaku dalam BADAS di mana segelintir ahli BADAS yang bersama-sama berjuang membantu agama Allah telah tewas di pertengahan jalan. Ujian yang dijanjikan oleh pencipta alam tidak mampu digalas dan dihadapi tanpa kekuatan dalaman yang ada. Tabiat ini sudah disebut dalam firman Allah dalam surah al-'Ankabut ayat 2 :

“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"


Saya mengungkit perkara ini bukanlah untuk menangisi pemergian mereka dalam perjuangan, tetapi sekadar memberikan peringatan dalam badai perjuangan kita yang masih diberikan kesempatan dan hidayah oleh Allah untuk menjadi sebahagian daripada pejuang dan tentera Allah. Yang sudah pergi, jangan ditangisi kerana kita bukan umat yang melukut di tepi gantang, yang berfikir secupak tidak akan menjadi segantang, tapi kita adalah umat yang memiliki kekuatan dan semangat tersendiri anugerah daripada Allah yang maha kuasa. Ingat! Jangan biarkan ayam direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang.

Suka untuk saya mengingatkan kepada diri yang kerdil ini, dan semua ahli BADAS khasnya, bahawa pilihan perlu dibuat untuk menentukan kita berada dalam golongan hamba yang memperjuangkan agama Allah ataupun sebaliknya. 
Firman Allah dalam surah an-Naba' ayat 31 :

“Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, pasti akan berjaya."

Kita lah yang memilih untuk menempatkan diri di kelompok yang mana, sama ada kelompok yang memperjuangkan agama ataupun golongan yang sentiasa memberi alasan untuk membantu agama Allah. Islam yang pernah membina sebuah empayar suatu ketika dahulu akhirnya jatuh semasa kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Sehingga kini masih tidak kelihatan bibit-bibit kegemilangan yang pernah dibina dahulunya. Walaupun begitu Allah telah menjanjikan kemenangan kepada orang Islam suatu hari nanti. Inilah persoalan yang saya ingin kaitkan bahawa soal kemenangan bukanlah kerja kita yang menentukan, islam pasti akan menemui kemenangan. Cuma kita hanya perlu membuat pilihan sama ada untuk berada dalam golongan yang memperjuangkan Islam atau sebaliknya. Fikirkanlah!

Jalan Dakwah itu indah


Insan yang gentar kemurkaan-NYa
Nik Mohd Fahmi b. Nik Harun Aminarrashed
7.00 p.m. Ipoh, Perak.