Oleh: Nik Mohd Fahmi b. Nik Harun Aminarrashed.
Bahagian 1


Pemakanan

Al-Quran sangat menitikberatkan isu pemakanan halal dan haram. Allah menurunkan ayat yang menjadi garis panduan pemakanan kepada sekelian manusia agar manusia menjaga prinsip pemakanan yang betul. Kita wajib mengikuti segala yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa sebarang alasan dan dalih. Firman Allah :

“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” (Surah al-Baqarah ayat 168)
Ayat ini menjelaskan prinsip mencari makanan dalam kehidupan seharian. Pemakanan yang halal dirakamkan oleh Allah dalam al-quran membuktikan bahawa kehalalan sesuatu yang mengalir dalam tubuh badan seseorang manusia adalah sangat penting dan dituntut oleh Allah.


Tidak cukup dengan penekanan mencari yang halal, Allah turut menekankan bahawa halal itu perlu di gabungkan dengan thoyyib (baik), menjadikan tuntutan mencari makanan itu adalah yang halal dan thoyyib. Sehingga kini, isu halal dan haram banyak digembar-gemburkan dalam media elektronik dan media cetak terutamanya surat khabar dan rancangan-rancangan di televisyen seolah-olah isu ini walaupun sudah lapuk, namun tidak ada penghujungnya. 

Terlalu  banyak isu halal haram yang keluar dalam media seperti isu Tesco disaman kerana menjual ayam yang tidak disembelih, isu ayam yang disuntik enzim babi, isu keraguan status ayam kerana penyembelih yang tidak bertauliah, isu kilang tauhu bersama kandang babi, isu bebola ikan perut babi, isu sosej usus babi dan sebagainya. Jika kita peka dengan tajuk-tajuk akhbar, kita akan dapati semua yang ditulis ini adalah tajuk-tajuk yang tersiar di dada-dada akhbar. Halal dan haram adalah suatu yang jelas dan tidak boleh dipertikaikan lagi kerana Allah telah menyebut dengan jelas dalam al-quran. 

Firman Allah :
“Sesungguhnya Dia mengharamkan ke atasmu bangkai, darah, daging babi, dan daging haiwan yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah”. (Surah al-Baqarah ayat 173)

Berpegang kepada logo halal? Logo halal pun sudah dipermainkan begitu sahaja. Banyak kes-kes yang tertera di dada akhbar membuktikan logo halal dipermainkan. Pada hari ini logo halal tidak boleh dipercayai lagi kerana kita sudah lali dengan timbunan kes-kes yang tidak menjaga sensiviti umat islam. Contohnya kes logo halal dibeli. Sememangnya tidak ada akta yang boleh menyaman sesiapa yang mengeluarkan logo halal. Oleh kerana itulah ramai peniaga yang berani mengeluarkan logo halal walaupun ada unsur yang haram dimasukkan.