Oleh: Nik Mohd Fahmi b. Nik Harun Aminarrashed.

 Sahabat-sahabat seperjuangan yang amat saya kasihi sekalian, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat semua untuk kita menginsafi suatu isu yang sudah pasti akan membangkitkan sensitiviti kita sebagai umat Islam. Walaupun setiap kita mempunyai perbezaan pendapat dalam banyak perkara, namun dalam isu halal haram kita seharusnya bersatu memikirkan jalan penyelesaiannya.

Tunjang Akidah

Bila kita memperkatakan tentang isu ini, kita tidak akan dapat lari daripada pegangan akidah yang kita genggam selama ini. Sahabatku, Allah menurunkan al-Kitab (Quran) dan Rasulullah mengajarkan as-Sunnah (Hadis) bagi membimbing makhluk bernama manusia agar tidak terseleweng daripada landasan sebenar. Jika sekiranya Allah tidak mengajar dan membimbing kita menerusi al-Kitab dan as-Sunnah, kita pasti akan terkapai-kapai mencari kebenaran yang hakiki.

Sememangnya kita dianugerahkan akal fikiran untuk berfikir dan terus berfikir menjawab persoalan kebenaran yang bermain di benak fikiran kita semua. Bagi mereka yang mengalami masalah hutang, mereka akan berfikir bagaimana ingin melunaskan hutang-piutang. Begitu juga bagi mereka yang mentadbir sebuah negara, mereka berfikir bagaimana untuk menguruskan soal politik.Semua masalah tersebut mampu diselesaikan dengan hanya menggunakan akal fikiran anugerah Yang Maha Esa.

Namun  ada perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran manusia walau sebijak manapun mereka contohnya perkara-perkara ghaibiyyat tidak mampu dicapai oleh tahap kognitif manusia. Perkara sebegini memerlukan petunjuk daripada pemilik alam ini. Begitu juga dengan perkara-perkara yang memerlukan tempoh masa yang panjang untuk untuk mengkaji dan mendapatkan keputusan yang tepat. Maka untuk mendapatkan bukti dari segi kesihatan sudah pasti 1400 tahun dahulu manusia masih tidak mampu untuk mengkaji secara saintifik tentang sebab musabab pengharaman makanan yang ditentukan oleh Allah. Justeru pada ketika inilah rujukan utama kita adalah apa yang diturunkan oleh tuhan pencipta alam sebagai kayu ukur dalam membezakan salah atau benar sesuatu perkara.

Firman Allah :
“Jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah)” (surah an-Nisa’ ayat 59)

Setelah kita meyakini dan akur bahawa tiada suatu kuasa yang mampu menyelesaikan masalah ummat, dan mampu memberikan petunjuk kepada jalan yang benar, melainkan kuasa Yang Maha Esa, apakah kita mahu berlengah dan berdalih lagi untuk sama-sama menghayati ajaran yang mulia ini. Kita sering mendengar bahawa “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Tetapi saya katakan bahawa mereka yang mahu akur dengan ketetapan Allah pasti mencari seribu daya untuk melunaskan tuntutan tersebut, namun mereka yang enggan akur kepada ketetapan ini tidak perlu kepada seribu dalih, bahkan mereka hanya perlu kepada satu dalih sahaja, sudah memadai untuk menolak semua tuntutan ini. Mereka inilah golongan yang ingkar. Oleh kerana itulah mereka yang memahami dan meyakini hakikat ini akan menurut segala kehendak al-Kitab dan as-Sunnah. Kita juga sudah pasti tidak terlepas dari melunaskan tuntutan ini. Mereka yang memiliki kekuatan akidah tidak perlu mempersoalkan segala ketetapan dari Allah, bahkan mereka mengikut tanpa sebarang prasangka. Itulah yang perlu ada kepada kita sebagai seorang islam.