Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Alhamdulillah

Syukur kepada ALLAH tuhan sekalian alam, kekasih sekalian kekasih, atas nikmat IMAN dan ISLAM, laksana udara untuk bernafas, mana mungkin akan hidup tanpa keduanya. Juga syukur kepada-Nya atas setiap helaan nafas yang masih terhela, juga atas setiap degupan jantung yang masih berdegup, juga atas setiap sinaran Rahman-Nya dan Rahim-Nya ke atas sekalian alam.

Salam perjuangan saya ucapkan kepada seluruh barisan penyokong dan pendokong BADAS dan semua umat ISLAM semuanya. Perlulah kita sedar bahawa hidup ini laksana musafir yang merantau dari satu daerah ke daerah yang lain. Ada daerah yang sangat mudah untuk diperoleh makanan. Ada pula daerah yang sangat sukar untuk diperoleh makanan. Rezeki dan kiraan antaranya berbeza. Apa yang pasti, insan musafir itu haruslah pandai memanfaatkan segala kesempatan yang dimilikinya dalam sesuatu daerah sebelum dia meninggalkan daerah itu. Daerah Ramadhan..?

Alhamdulillah, kita semua telah melangkah ke daerah Ramadhan, madrasah Ramadhan ataupun akademi Ramadhan. Ramai yang sudah berhari-hari melakarkan kata-kata serta menzahirkan rasa rindu kepada Ramadhan dan tidak sabar mahu bersua dengannya. Terbaru, ramai juga yang menyiarkan azam dan kesyukuran atas umur yang berbaki atas bersuanya dengan bulan yang penuh barakah ini. Berbahagialah insan-insan yang ALLAH letakkan mereka dalam bi’ah solehah, semoga bahagia di dunia itu juga bermaksud bahagia di akhirat nanti. Namun, adakah semua bahagia di dunia ini bermaksud bahagia di akhirat..? Adakah kita bersedia untuk mengejar bahagia akhirat melalui tarbiah Ramadhan..?

Mari kita ukur sejauh mana persediaan yang telah kita lakukan untuk menyambut ketibaan bulan yang mulia ini..

1. Adakah kita termasuk dalam golongan yang berjihad melawan godaan selimut tebal untuk memenuhkan saff-saff jemaah subuh di rumah ALLAH..?

2. Adakah kita termasuk dalam golongan yang “tiada solat fardhu melainkan berjemaah”..?

3. Adakah berada di tempat-tempat maksiat membuatkan kita tidak selesa..? (adakah rasa biasa sahaja..?)

4. Adakah berada dalam majlis-majlis ilmu membuatkan kita rasa bahagia..? (adakah rasa bosan..?)

5. Adakah istilah “Qiam” wujud dalam kamus hidup kita..? jika ada, sejauh mana kita mendalaminya dan mengamalkannya..?

6. Berapa banyakkah kata-kata yang mengajak kepada ALLAH yang kita nukilkan di laman-laman sosial berbanding komen-komen lagha dan langsung tidak membina IMAN..?

7. Adakah solat sunat rawatib selepas solat fardhu masih terasa sangat berat buat kita..?

Sesungguhnya banyak lagi soalan yang boleh kita tanya kepada diri sendiri. Banyak juga kaedah yang dapat digunakan untuk muhasabah diri. Persoalannya, adakah kita mengusahakan alternatif itu..? Terperangkap di padang pasir dalam keadaan yang sangat dahaga. Tiba-tiba terjumpa air. Adakah hanya terjumpa air itu sudah cukup untuk menghilangkan dahaga..? Tidak perlukah mengambilnya dan menghirupnya..? Usaha wahai sahabat seperjuanganku. Sesungguhnya usaha kalian jika ikhlas dan berlandaska syara’ insyaALLAH akan dipermudahkan oleh ALLAH.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama berjihad habis-habisan sementara Ramadhan masih berada di awal kunjungannya. Penutup bicara terimalah untaian kata ikhlas dari ana khas buat antum yang sudi.


Membaca Al Quran di awal pagi,

Sambil duduk di tengah beranda;

Madrasah Ramadhan menjelma lagi,

Ganjaran amalan berlipat ganda.

Berjihad dibantu sahabat sebaya,

Berjihad melawan nafsu sendiri;

Peluang yang ada janganlah disia,

Nanti menyesal kemudian hari.


Sekian, wassalam..


Ahmad Zulhakim Bin Md Dahala,

Presiden Badan Dakwah Dan Surau (BADAS) Sesi 2009/2010

IPG Kampus Sultan Abdul Halim