Sememangnya kita berhak untuk memaafkan orang lain atau tidak. Setelah seseorang melakukan kesilapan kepada kita, kita berhak untuk tidak memaafkannya dan membiarkannya dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan kepada kita. Mungkin juga kita mampu bersorak gembira kerana mendapat pahala hasil daripada perbuatan jahatnya terhadap kita manakala dia akan memikul dosanya sehingga hari qiamat.

Tapi sebelum anda membuat keputusan untuk tidak memaafkan orang lain, cuba renung kisah nie dulu dan buatlah pilihan sama ada anda ingin memaafkan atau tidak.

Suatu hari, tatkala melihat Rasulullah tertawa sendirian Saidina Umar r.a pun bertanya apa sebabnya.Jawab baginda, "Ada dua orang umatku yang memperhitungkan hak-haknya. Yang seorang berkata, "YA Allah, berikanlah hak-hakku yang dizalimi oleh orang itu"

Berfirman Allah S.W.T, "Berikanlah haknya yang telah engkau zalimi!"

Menjawab orang yang dituntut itu dengan sedih, "Ya Allah, wahai Tuhanku, sesungguhnya kebaikanku telahpun habis semuanya, maka tiadalah lagi yang dapat aku berikan kepada orang ini"

Dijawab oleh orang yang menuntut itu, "Oleh itu, engkau mesti menanggung segala dosaku sebagai ganti."

Tatkala ini kelihatan Rasulullah s.a.w mengalirkan air matanya menahan kesedihan lalu meneruskan sabdanya, "Kemudian Allah berfirman kepada orang yang menuntut itu, "angkatlah kepalamu dan lihatlah Syurga"

Apabila dilihat oleh si penuntut itu Syurga yang penuh di dalamnya kota-kota yang berlantaikan perak dan gedung-gedung indah daripada emas bertahtakan perak, bertahtakan intan permata, yang elok-elok, dia bertanya, "Apakah itu semua itu untuk nabi-nabi atau apakah untuk orang syahid?"

Maka dijawab oleh Allah Taala, "Itu untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya!"

Maka kata si penuntut itu, "Ya Allah, siapakah yang memiliki harta yang banyak untuk membeli syurga yang amat hebat itu?"

Dijawab oleh Allah S.W.T, "Engkau pun dapat membayarnya, iaitu dengan mengampunkan orang yang telah menzalimimu itu"

Maka kati si penuntut itu,"Kalau begitu aku sanggup mengampuni dosanya terhadapku!"

Firman Allah Taala, "Pimpinlah tangan orang itu bersama-sama ke dalam syurga itu!"

Kemudian Rasulullah bersabda, "Maka berbuat baiklah kepada saudaramu sesama Muslim"


Semuanya di tangan anda tapi ingat, "Hidup nie terlampau singkat untuk kita tidak berasa bahagia"(Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj)

Petikan dari buku Membina Hati Bahagia, Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj.